Monday, April 5, 2010

KESAN MEDIA TERHADAP KANAK-KANAK DAN PERANAN IBU BAPA

Oleh Lim Yi Hui dan Tang Mun Chee

Seluruh dunia termasuklah Malaysia sedang menuju ke arah modenisasi dan globalisasi. Tidak hairanlah bahawa setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya sebuah televisyen. Data dalam kajian Anura Goonasekera telah menyatakan bahawa antara 1000 penduduk di Malaysia, akan ada 102 orang yang memiliki televisyen dan pada setiap tahun bilangannya semakin meningkat. Kini, televisyen boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja berbanding dengan masa dahulukala dan telah pun menjadi sebahagian keperluan hidup masyarakat. Di Malaysia, kanak-kanak secara keseluruhannya lebih banyak menonton televisyen berbanding mendengar radio. Mengapa? Hal ini demikian kerana televisyen merupakan satu medium yang menceritakan sesuatu dengan gabungan suara, muzik, gambar dan gerakan. Di Amerika Syarikat, kanak-kanak yang berumur paling muda didapati mempunyai tabiat menonton televisyen untuk beberapa jam sehari. Setelah mereka tamat persekolahan menengah, kemungkinan masa yang digunakan ialah 10, 800 jam di sekolah dan lebih 200, 000 jam di depan televisyen (Holmes 1975, 10).

Antara elemen yang sering kali menarik perhatian kanak-kanak adalah iklan dan cerita kartun. Iklan-iklan yang dipaparkan mempunyai pertalian rapat dengan siaran televisyen. Gambaran yang disiarkan dalam iklan amat menarik perhatian kanak-kanak kerana mengandungi warna-warna yang menarik dan kandungan yang menghiburkan. Contohnya, iklan minuman Ribena. Dalam iklan ini, buah anggur hitam mempunyai perwatakan yang ceria dan ia turut dipersembahkan dengan menggunakan warna ungu yang menarik. Hal ini akan menyebabkan kanak-kanak menumpukan perhatian mereka terhadap produk tersebut dan terdorong untuk membelinya.

Begitu juga dengan cerita-cerita kartun yang disiarkan dalam televisyen. Contohnya, cerita kartun Mickey Mouse dan Donald Duck. Pihak media “Walt Disney Presents” telah memberikan haiwan tikus dan itik watak masing-masing dan melakukan aksi-aksi yang menarik seperti menari, menyanyi dan sebagainya. Kanak-kanak akan berasa teruja dan terikut-ikut meniru aksi nyanyian dan tarian mereka.

Menurut Wilbur Schramm, Jack Lyle, dan Edwin B. Parker (1961), mereka mengatakan bahawa terdapat satu persoalan yang sering kali ditanya dalam kajian terhadap media semasa hujung tahun 1930-an, iaitu: “ Antara pilihan saluran media berikut, yang manakah mampu memberikan kepercayaan atau keyakinan yang tinggi kepada anda? Televisyen, radio, atau berita dalam surat khabar? Dalam hasil kajian ini, majoriti telah menunjukkan kebanyakan orang lebih mempercayai berita dalam surat khabar berbanding dengan saluran media yang lain. Namun begitu, kanak-kanak amat mempercayai segala maklumat yang disampaikan oleh televisyen berbanding dengan saluran media yang lain.

Secara tidak langsung, kenyataan ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan ibu bapa tentang mesej yang cuba disampaikan melalui iklan dan cerita kartun. Mereka berpendapat bahawa terdapat semakin banyak unsur negatif yang dipaparkan seperti keganasan. Menurut Sandra L. Calvert dalam bukunya “Children’s Journeys Through the Information Age” telah menyatakan, dalam rancangan televisyen yang disiarkan ketika masa kemuncak, 70 peratus daripada rancangan televisyen tersebut mengandungi unsur-unsur keganasan. Aksi-aksi ganas ini ditunjukkan sebanyak 5 kali dalam satu jam dan hampir kesemua watak dalam program televisyen melibatkan diri dalam kegiatan yang ganas malah melibatkan pembunuhan.

Sebenarnya, kandungan keganasan dalam cerita kartun kanak-kanak adalah lebih banyak berbanding dengan rancangan televisyen yang lain (Gerbner & Signorielli, 1990). Contohnya, cerita kartun “Ben 10” yang memaparkan aksi-aksi pergaduhan untuk menentang makhluk-makhluk asing. Hal ini menjadi kebimbangan utama para ibu bapa kerana kanak-kanak yang menontonnya akan mengikuti aksi-aksi melawan yang dimainkan oleh watak Ben. Persoalan yang timbul di sini adalah:
“Adakah media akan memberikan kesan terhadap kanak-kanak?”
“Adakah mesej-mesej keganasan dalam iklan mahupun cerita kartun akan memberi kesan kepada kanak-kanak?”

Berdasarkan persoalan ini, terdapat pengkaji-pengkaji yang membuat kajian tentang persoalan tersebut. Albert Bandura telah menjalankan satu kajian tentang kesan keganasan dalam media terhadap kanak-kanak. Kajian “Bobo dolls” telah dikemukakan bertujuan untuk melihat kesan dan pengaruh media ke atas audiens (kanak-kanak) dan bagaimana pendedahan kanak-kanak terhadap mesej media tertentu akan mengubah tingkah laku mereka. Pada peringkat awal, Bandura, Ross, dan Ross (1963) memerhati kelakuan kanak-kanak yang diletakkan di dalam sebuah bilik permainan yang mempunyai “Bobo doll” dan permainan yang lain. Kemudian, kanak-kanak ini telah dibahagikan ke dalam 4 keadaan eksperimen yang berbeza:
Dalam pemerhatian pengkaji, kanak-kanak berkecenderungan untuk menjadi lebih agresif setelah mereka dikeluarkan dari bilik permainan tadi. Sememangnya, kajian ini cuba menunjukkan media mempunyai kesan secara langsung ke atas individu serta tingkah laku dan sikap boleh ditiru terutamanya golongan kanak-kanak.

Akan tetapi, terdapat beberapa hipotesis yang telah diajukan berdasarkan kesan keganasan dalam televisyen terhadap kanak-kanak yang melihat kepada perspektif yang lebih luas dan berbeza, iaitu:
Pertama ialah catharsis (kelegaan emosi). Hipotesis ini telah menyatakan bahawa impuls keganasan yang terkumpul boleh dibuang oleh individu sekiranya mereka telah pun menyerap ke dalam aktiviti-aktiviti yang mempunyai unsur keganasan. Kajian hipotesis ini telah dilakukan oleh Feshbach pada tahun 1950 dan 1960. Beliau mengatakan seseorang individu boleh membuang tingkah laku yang agresif dengan memikirkan keganasan sebagai fantasi atau melihat pemaparan keganasan fiksyen bawah keadaan lab yang terkawal.

Selepas itu, laporan daripada Feshbach dan Singer (1971) mengatakan individu berkecenderungan untuk mengurangkan kelakuan agresif dalam keadaan semula jadi. Sekumpulan pelajar lelaki telah diletakkan dalam eksperimen dan kelakuan mereka diperhatikan sebelum, semasa dan selepas enam minggu mereka terdedah kepada kandungan keganasan televisyen yang terkawal. Mereka mendapati bahawa pelajar yang tidak menonton program keganasan mempunyai peratusan untuk melakukan kelakuan yang agresif berbanding dengan pelajar lelaki yang didedahkan kepada program keganasan sahaja.

Namun begitu, kajian ini dikritik kerana keupayaan untuk mengawal seseorang daripada melakukan atau membuang kelakuan agresif amat bergantung kepada kemahiran kognitif masing-masing di mana setiap orang adalah berbeza. Dengan ini, bagi orang yang mempunyai imaginasi dan kemahiran kognitif yang tinggi, mereka didapati mempunyai keupayaan yang lebih untuk mengurangkan kemarahan apabila menonton kandungan media yang ganas berbanding dengan orang yang lemah pemikirannya.

Hipotesis yang kedua ialah arousal. Hipotesis ini telah mengatakan bahawa penonton akan terangsang apabila menonton program yang mempunyai unsur-unsur keganasan. Jenis rangsangan atau kesan ini juga boleh berlaku terhadap kandungan program yang bersifat seksual dan lucu. Dengan ini, sekiranya penonton sedang menonton program yang ganas, mereka berkemungkinan untuk berasa marah dan mempunyai tindak balas yang agresif seperti mana mereka sedang mengalami keadaan yang sama. Akan tetapi, terdapat kritikan dan persoalan di mana sekiranya tiada peluang diberi untuk menunjukkan tindak balas agresif tersebut, emosi kemarahan dan agresif akan semakin berkurangan seterusnya mengurangkan peratusan untuk melakukan keganasan.

Hipotesis ketiga ialah desensitization (penyahpekaan) yang menyatakan menonton program keganasan secara berulang akan mengurangkan tindak balas emosi terhadap keganasan dan meningkatkan penerimaan terhadap keganasan dalam kehidupan seharian. Dalam kajian ini telah menunjukkan kanak-kanak yang selalu menonton program keganasan telah pun menjadikan unsur keganasan sebagai salah satu sifat yang semula jadi. Pemerhatian telah dilakukan terhadap seorang kanak yang berumur lapan tahun (A) sama ada menonton program keganasan akan mempengaruhi tindak balasnya yang sedang menyaksikan dua kanak-kanak sedang berebut untuk mendapatkan permainan. Keputusan telah menunjukkan bahawa A jarang-jarang akan meminta bantuan daripada ibu bapa untuk menghalang pergaduhan tersebut. Sementara itu, pengkaji juga mendapati bahawa kanak-kanak yang sering menonton program televisyen (25+ jam dalam satu minggu) yang mempunyai unsur keganasan mempunyai kecenderungan yang lebih rendah bertindak ganas berbanding dengan mereka yang hanya menonton program televisyen keganasan kurang daripada 4 jam seminggu.

Menurut artikel Teresa yang merupakan salah seorang staf daripada organisasi ‘The Cute Kid’ berpendapat bahawa media membawa kesan yang baik dan buruk kepada kanak-kanak. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik kanak-kanak tentang isi kandungan yang dipaparkan oleh media. Sering kali, media memaparkan stereotaip tentang orang dan kaum-kaum yang berbeza. Kanak-kanak yang tidak mempunyai sebarang pengetahuan dan pengalaman akan menerima apa-apa sahaja yang mereka menonton dalam televisyen.

Antara peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak ialah mereka boleh memberikan pendapat mereka apabila sesuatu yang dipaparkan oleh media adalah tidak tepat. Selalunya, media memaparkan stereotaip terhadap kaum dalam filem-filem atau drama. Contohnya, kaum hitam sering kali dianggap sebagai penjenayah manakala kaum putih pula selalu diagung-agungkan seperti dalam cerita James Bond. Golongan Mexican pula dilihat sebagai perogol dan pembunuh seperti dalam cerita The Yellow Menace. Selepas tahun 1920, golongan hitam dianggap sebagai pengganas dan pembunuh seperti dalam cerita Birth of Nation. Dengan stereotaip-stereotaip tersebut, kanak-kanak akan berpendapat bahawa itulah kebenaran yang wujud dalam realiti sedangkan itu hanya merupakan adegan-adegan atau kandungan dalam media sahaja.

Dari segi pengiklanan pula, media telah mempengaruhi pemikiran kanak-kanak menyebabkan mereka ingin memiliki sesuatu produk. Dalam artikel ini, beliau telah memberikan contoh dalam kehidupan sehariannya.
“The other day my son told me that I should get a kitchen chopper, because it can cut things up so much faster than I can using a knife. I replied that I don't need a kitchen chopper because a knife works just fine.”

Kanak-kanak biasanya akan mempercayai dan tertarik kepada mesej dalam media (iklan). Pada peringkat ini, kanak-kanak tidak berupaya untuk membezakan dunia dalam media dengan realiti. Pandangan dunia (world view) mereka bermula di sini. Tetapi sebenarnya, media secara tidak langsung telah mewujudkan kesedaran palsu (false consciousness) dalam diri kanak-kanak. Misalnya, setiap tahun apabila keputusan peperiksaan awam diumumkan, media selalunya akan menanya, “Berapa bilangan A yang anda dapat?” lebih daripada “Apakah keputusan peperiksaan anda?” Kesedaran palsu ini juga dapat diaplikasikan dalam perbualan seharian antara ibu bapa malahan juga pelajar.

Selain itu, ibu bapa boleh memberitahu anak-anak tentang tindakan keganasan yang dipaparkan dalam media adalah berbahaya dan tidak benar. Kandungan dalam media yang sering kali menjadi kebimbangan ibu bapa adalah pergaduhan (keganasan), pergaulan bebas (seks) dan minuman keras (alkohol). Satu penyelidikan telah dijalankan oleh RAND dan University of North Carolina tentang remaja yang didedahkan kepada topik dan aksi-aksi seks dalam media lebih cenderung untuk melakukan perbuatan yang sama. Salah seorang pengkaji, Doktor Brown, mengatakan bahawa:
"Teens are defaulting to entertainment media for sexual information because they aren't getting this information in other places. Unfortunately, the media aren't the best sex educators. The media tend to leave out the crucial three C's: commitment, contraception and consequences."

Berdasarkan huraian dan perbincangan yang telah dinyatakan di atas, kita dapat melihat bahawa media sememangnya mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku kanak-kanak. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak mereka supaya dapat membezakan dunia dalam media dan realiti. Ibu bapa haruslah bersikap sabar dan meluangkan lebih banyak masa membuat penerangan kepada anak-anak mereka mengenai mesej yang disampaikan dalam media dan bukannya memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada mesej media yang diketengahkan. Hal ini akan mengelakkan kanak-kanak daripada mendapat pengaruh negatif dalam media.